Pengenalan Saiz pasaran kelapa muda bagi tahun 2002 dianggarkan sebanyak 79 juta biji dan dijangka meningkat dengan pertumbuhan 8% kepada 86 juta biji bagi tahun 2003. Berdasarkan perkembangan semasa, bekalan kelapa muda pula dijangka tidak mencukupi bagi menampung keperluan permintaan. Jumlah bekalan bagi tahun 2002 dianggarkan sebanyak 60 juta biji sahaja. Kekurangan bekalan pada tahun 2002 telah meningkatkan import kepada pada tahun 2002. Peningkatan harga tempatan amat ketara pada tahun 2002 dengan peningkatan diantara 5-8% dari tahun 2001 akibat peningkatan permintaan dan kekurangan bekalan. Keadaaan ini dijangka berterusan pada tahun 2003. Walaupun harga import adalah amat rendah pada kadar RM0.25 sebiji, harga kelapa muda masih terkawal. Kelapa muda merupakan satu produk yang mempunyai nilai khasiat yang tinggi. Ia adalah lebih menjurus kepada industri minuman yang berkait dengan sektor pelancongan. Air kelapa muda, disamping sebagai minuman segar, ia juga mengandungi pelbagai mineral dan vitamin sehingga dapat dikategorikan sebagai minuman ringan berkhasiat lagi menyegarkan, isinya yang masih lembut juga lazat dimakan bersama. Selain baik untuk kesihatan dan rasanya yang lazat, kelapa muda juga merupakan bidang yang menguntungkan terutama jika menjadi pembekal kepada institusi dan pusat-pusat tumpuan pelancong di mana permintaan bagi kelapa muda adalah tinggi. Penanaman kelapa muda juga amat menguntungkan kerana selain dari penanaman kelapa, petani juga boleh menanam tanaman lain seperti pisang dan koko untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Sistem sokongan seperti jaringan pengangkutan dan pemasaran yang baik adalah penting untuk memasarkan produk-produk ini ke pasaraya atau institusi–institusi lain. Manakala teknologi baru dan R&D juga penting dalam menghasilkan varieti yang bermutu tinggi dan sistem pembungkusan yang lebih menarik untuk dipasarkan. |