Projek : PENINGKATAN PENGELUARAN BERAS NEGARA 1. LATAR BELAKANG Peningkatan permintaan telah menyebabkan persaingan yang sengit dalam mendapatkan bekalan beras di peringkat pasaran dunia sehingga negara-negara pengeluar seperti India, Vietnam dan Kemboja telah menghentikan eksport beras ke negara-negara luar. Harga beras di pasaran dunia telah naik mendadak berbanding harga pada 2007. Harga beras Putih Thai 5% telah mengikat daripada USD371/MT pada tahun 2007 kepada harga semasa iaitu USD980/MT iaitu kenaikan sebanyak 164%. Beras Putih Vietnam pula telah naik daripada USD352/MT pada tahun 2007 kepada USD1,100/MT iaitu kenaikan sebanyak 212% pada tahun ini. Kenaikan ini telah memberi tekanan kepada harga padi dan beras dalam negeri. Beras tempatan yang dikawal iaitu beras Super S Tempatan 15% yang ditetapkan di antara RM1.65/kg hingga RM1.80/kg telah mengalami kekurangan bekalan di pasaran tempatan. Pengilang-pengilang lebih berminat untuk mengeluarkan beras Super Special Tempatan 10% dan Super Special Tempatan 5% sahaja yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan daripada mengeluarkan beras Super Tempatan 15%. Oleh kerana beras Super Tempatan 15% dikawal dan harganya rendah, permintaan gred beras ini naik mendadak. Harga beras import juga turut dinaikkan oleh pemborong dan peruncit walaupun BERNAS tidak menaikkan harga jualan kepada pemborong. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah diberi tanggungjawab untuk menangani krisis ini dan menentukan bekalan makanan negara mencukupi.Sehubungan dengan itu, Kerajaan pada 2 Mei 2008 telah meluluskan Dasar Jaminan Bekalan Negara yang mengandungi langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk meningkatkan produktiviti sektor agro makanan termasuk peningkatan pengeluaran beras. Pihak Kementerian telah memperkenalkan beberapa langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang merangkumi hala tuju strategik program serta menjurus kepada tindakan “quick win” bagi meningkatkan produktiviti. Langkah-langkah tersebut juga telah mengambil kira tindakan-tindakan segera bagi meningkatkan pengeluaran beras dengan memperkukuhkan khidmat sokongan dan pemberian subsidi serta pembayaran insentif. Kesemua program tersebut dirangka bagi tempoh 2008 hingga 2010. |