Nangka atau nama saintifiknya Artocarpus heterophylus adalah tergolong di dalam keluarga Moraceae, iaitu sejenis tanaman tropika. Nangka dipercayai dibawa masuk ke Malaysia dari India pada tahun 1877. Kawasan penanaman nangka banyak tertumpu di negara-negara Tropika terutamanya di Indonesia, Thailand dan Filipina selain Malaysia. Negeri-negeri utama pengeluaran nangka ialah Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu. Nangka ialah salah satu jenis buah-buahan yang telah dikenal pasti di bawah Dasar Pertanian Negara (1992 - 2010) yang mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi menampung permintaan domestik, eksport dan sebagai gantian import. Nangka adalah sejenis buah-buahan tempatan tidak bermusim yang boleh didapati sepanjang tahun. Sehingga kini, terdapat tujuh jenis klon yang telah didaftarkan. Di antaranya ialah J29, J30 dan J31 (NS1).Varieti ini tidak lagi ditanam secara komersial, sebaliknya penumpuan diberikan kepada klon-klon NS3, NS4 dan NS9. Kini, tumpuan khususnya diberikan kepada produk nangka yang siap sedia dimakan terus iaitu yang mengalami pemprosesan minimum segar dan nangka diproses berbentuk cip. Kajian menunjukkan kedua-dua produk tersebut mengandungi zat khasiat yang tinggi dan sesuai untuk dijadikan sebagai makanan kesihatan berbanding kebanyakan buah-buahan import. Adalah dijangkakan kuantiti penggunaan dalam negeri dan eksport pada tahun 2005 bagi kedua-dua produk tersebut ialah sebanyak 29,876 MT dengan perolehan hasil sebesar RM123.8 juta (termasuk penglibatan MoA Inc). Manakala pada tahun 2010, senario ini dijangkakan terus berkembang iaitu kuantiti penggunaan dalam negeri dan eksport berjumlah 46,183 MT dengan jumlah hasil sebanyak RM228.3 juta (termasuk penglibatan MoA Inc). |