Makanan halal bermaksud makanan yang dibenarkan oleh hukum syarak dan menepati syarat-syarat berikut :- - Tidak mengandungi mana-mana bahagian atau produk daripada haiwan yang tidak halal mengikut syarak atau produk daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.
- Tidak mengandungi bahan yang dikategorikan sebagai najis oleh hukum syarak.
- Tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan peralatan yang telah dicemari bahan-bahan yang dikategorikan sebagai najis oleh hukum syarak.
- Semasa penyediaan, pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan atau pemindahannya, makanan tersebut perlu diasingkan dari makanan yang tidak menepati keperluan di atas atau bahan-bahan yang telah dimaktubkan sebagai najis oleh hukum syarak.
Industri makanan halal merupakan satu industri yang makin pesat mengembang dan Malaysia mempunyai potensi pusat makanan halal dunia yang bernilai RM190 billion. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Unipeq (Unit Penyelidikan Kualiti Makanan, UKM), industri halal berpotensi untuk brekembang berdasarkan permintaan dan keperluan 2 billion pengguna Muslim seluruh dunia. Pasaran makanan antarabangsa bagi makanan halal bernilai USD50 billion (RM190 billion) dan dijangka meningkat setiap tahun. Malaysia merupakan salah satu negara pengeluar makanan halal dunia. Potensi pasaran bagi makan halal adalah besar sama ada domestik mahupun antarabangsa. Permintaan pengguna Muslim terhadap makanan halal telah meningkatkan lagi industri ini bukan hanya di Malaysia bahkan di serata dunia. Pasaran bagi makanan halal secara global adalah amat luas. Permintaan makanan halal dunia dianggarkan bernilai USD80 billion (RM304 billion) setahun (Babji, 1998). Populasi muslim yang besar di Timur Tengah, Amerika Utara, Asia Tenggara, Soviet Union dan China menyediakan pasaran yang lumayan kepada industri makanan halal (Chaudry,1992). Sehingga kini, tiada perangkaan menyeluruh diperolehi mengenai prestasi perdagangan makanan halal Malaysia di peringkat antarabangsa. Walau bagaimanapun bagi tempoh Januari-September 2001, Malaysia mengeksport sejumlah RM 2,843.4 juta produk makanan ke luar negara. Dari jumlah tersebut sebanyak RM 1,532.5 juta atau 53.9% dieksport ke negara-negara di ASEAN dan Timur Tengah yang merupakan kawasan paling ramai penduduk Islam dan pengguna terbesar produk makanan halal di dunia. Destinasi eksport utama negara ialah Singapura, Indonesia, Brunei, Emiriyah Arab Bersatu dan Saudi Arabia (Sumber : http://www.miti.gov.my/dn3-il.html). |